Nuffnang

Wednesday 15 June 2016

Ulangtahun Perkahwinan Ke-8 : Rasai Cinta Itu

 Assalamualaikum wbt

1 Jun 2016. Hari yang sungguh istimewa bagi kami suami isteri. Lapan tahun yang lalu kami dinikahkan. Lapan tahun bersama-sama, bercinta dan berkasih sayang, berkongsi segala cerita, impian, cita-cita, suka duka, gelak ketawa, tangis air mata. Lapan tahun melengkapkan kehidupan dengan pelbagai ujian dan dugaan - nikmat, rahmat, kesabaran, keihklasan, kesukaran. Lapan tahun mendidik jiwa kerana sebuah perkahwinan jarang sekali didasari oleh persamaan, tetapi mengajar kita bagaimana harus kita meraikan perbezaan.

Untuk abang yang tersayang, selamat ulangtahun perkahwinan ke-8. 

Semoga Allah rahmati dan berkati perkahwinan kita, moga ikatan cinta kita dipanjangkan Allah hingga ke syurga. Amin...

Terima kasih untuk hadiah anniversary yang paling bermakna dalam hidup - kad undangan sebagai tetamu Allah. Syukur Ya Allah, dipermudahkan segala urusan, diberikan kesihatan yang baik, diselamatkan perjalanan pergi dan balik. Pada hari ulangtahun perkahwinan, kami suami isteri berangkat ke Tanah Suci. Alhamdulillah, dipinjamkan Allah ruang dan masa untuk berdua-duaan, berjalan beriringan, berpimpin tangan. Bercinta dari Madinah Al-Munawwarah hingga ke Makkah Al-Mukarramah. 

Allahu Akram... indahnya saat dan detik itu. Saat merasai cinta itu hidup, saat merasa nadinya sentiasa hangat berdenyut, saat saya pasti cinta itu benar-benar bernyawa.